Tuesday 11 December 2012

HADITH SUMBER JAKIM


Bil Hadith
1 Berbakti Kepada Ibu Bapa
Daripada Abu Hurairah RA juga daripada Nabi SAW sabdanya, “Hinalah kemudian, hinalah kemudian, hinalah (bagi) mereka yang sempat hidup bersama dengan salah seorang daripada ibu bapanya atau kedua-duanya sekali ketika mereka tua sedangkan dia tidak dapat masuk syurga” (dengan sebab itu)”. 

2 Pengorbanan Ibu Bapa Tidak Ternilai
Daripada Abu Hurairah RA katanya, sabda Rasulullah SAW, “Tidak terbalas jasa seorang anak terhadap orang tuanya melainkan apabila dia mendapati orang tuanya menjadi hamba, lalu dibeli dan dimerdekakannya”. 

3 3 Perkara Yang Disukai Allah
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud RA katanya, “Aku bertanya kepada nabi SAW, apakah amalan yang paling Allah suka?” Jawab Nabi SAW, “Mengerjakan sembahyang dalam waktunya”. Aku bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawabnya, berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa”. Aku bertanya lagi, “Kemudian apa?” Jawabnya, “Jihad untuk menegakkan agama Allah”. 

4 Sebaik-baik Sahabat dan Jiran
Daripada ‘Abdullah R.huma katanya, sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik sahabat disisi Allah ialah yang terbaik hubungannya dengan sahabatnya dan sebaik-baik jiran disisi Allah ialah yang terbaik hubungannya dengan jiran tetanggannya”.

5 Eratkan Hubungan Silaturahim Sesama Jiran
Daripada ‘Aisyah R.Ha katanya, “Aku bertanya, wahai Rasulullah SAW, “Aku mempunyai dua jiran tetangga yang berdekatan maka yang mana satukah boleh aku berikannya hadiah?“ Jawab Rasulullah, “Berikan (hadiah itu) kepada jiran yang paling dekat pintu rumahmu”. 

6 Berkata Baik Atau Lebih Baik Diam
Daripada Abu Syuraih al-Khuza’ie RA bahawasanya Nabi SAW telah bersabda, “Sesiapa beriman dengan Allah dan Hari Kiamat maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bercakap yang baik ataupun diam”.

7 Berbaik-baik Sesama Jiran
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah seorang jiran melarang akan jiran tetangganya yang lain memacakkan kayu pada dindingnya”. Kemudian Abu Hurairah berkata, “Mengapa aku lihat kamu berpaling (daripada peraturan atau sunnah Rasulullah)!..Demi Allah, aku akan wajibkan sunnah nabi ini antara kamu (untuk diamalkan)”. 

8 Berilah Walau Sedikit Pun
Daripada Abu Hurairah (juga) katanya, sabda Rasulullah SAW, “Wahai perempuan-perempuan muslimat janganlah menghina seorang jiran kepada jiran tetangga yang lain, sekalipun (apa yang diberi itu) berupa kaki kambing”. 

9 Memelihara Ketenteraman Tetangga Tanda Kesempurnaan Iman
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya nabi SAW bersabda, “Demi Allah, tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman”, lalu ditanya, “Siapa (yang tidak sempurna imannya) wahai Rasulullah?”, jawab baginda, “Iaitu orang yang tidak memberi ketenteraman kepada jirannya dengan sebab kejahatan yang dilakukannya”. 
 
Dalam riwayat muslim “Tidak masuk syurga orang yang tidak mententeramkan jirannya dengan sebab kejahatannya”.

10 Sebaik-baik Jiran Tetangga
Daripada Abu Dzar RA katanya, sabda Rasululah SAW, “Wahai Abu Dzar Apabila kamu merebus daging (membuat sup) perbanyakkanlah airnya (kuahnya) dan hendaklah engkau ingat jiran engkau”. 
 
Dalam riwayat yang lain, daripada Abu Dzar juga katanya, “Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah SAW) telah berpesan kepadaku, apabila engkau memasak daging perbanyakkanlah airnya, kemudian lihatlah kaum keluarga jiran engkau dan berilah sebahagian daripadanya dengan cara yang baik”.

11 Berbuat BaikTerhadap Jiran
Daripada Ibnu Umar dan Aisyah R.huma, kedua-duanya berkata, sabda Rasulullah, “Jibril sentiasa memesan kepada aku supaya berbaik-baik dengan jiran hingga aku menyangka bahawa Jibril akan menetapkan hukum pusaka antara sesama jiran”. 

12 Perintah Anak Solat
Daripada ‘Amru bin Syu'aib daripada bapanya, daripada datuknya RA katanya, sabda Rasulullah SAW “Perintahkan (ajarlah) anak-anak kamu menunaikan sembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan rotankan ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur mereka”.

13 Ajari Anak-anak Akhlak Islam
Daripada Abu Hafs ‘Amru bin Abi Salamah  ‘Abdullah bin Abdul Asad anak tiri Rasulullah SAW katanya “Aku seorang kanak-kanak didalam peliharaan Rasulullah SAW dan pada waktu makan tanganku menjemput di sana sini di setiap sudut pinggan maka Rasulullah bersabda, “Wahai anak, bacalah بسم الله  (sebutkan nama Allah ketika hendak makan) dan makanlah dengan tangan kananmu dan hendaklah ambil makanan yang hampir dengan kamu. Selepas itu sentiasalah engkau ikut cara makan (yang ditunjuk oleh Rasulullah)”.

14 Perkara yang salah mesti ditegur
Daripada Abu Hurairah RA katanya, al-Hasan R.huma telah mengambil sebiji tamar daripada buah-buah tamar yang yang disedekahkan lalu dimasukkan ke dalam mulutnya. Maka Rasulullah SAW bersabda “Buang (luahkan) tamar itu, tidakkah engkau tahu kita tidak dibolehkan memakan pemberian sedekah?”
 
Di dalam riwayat lain: “Kita tidak dihalalkan menerima sedeqah”. 
 

15 Dermakan Sebahagian Harta Yang Kamu Sayangi
Daripada Anas RA katanya, Abu Thalhah RA ialah orang Ansar yang paling banyak harta daripada kebun-kebun tamar yang luas. Harta yang paling disukainya ialah kebun tamar Bir Ha’ yang menghadap ke arah masjid (Nabawi). Rasulullah SAW pernah masuk ke kebun itu dan minum airnya yang sedap. Anas berkata, apabila turun ayat yang bermasud, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi” Abu Thalhah pergi menemui Rasulullah dan berkata “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah berfirman yang maksudnya, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi dan sesungguhnya aku sangat sayang kepada kebun tamar Bir Ha’ itu dan aku jadikannya sebagai sedekah pada jalan Allah agar aku mendapat kebaikan (yang dijanjikan Allah) dan sebagai bekalan akhirat disisi Allah SWT. Oleh itu, engkau gunakanlah harta itu mengikut apa yang Allah tunjukkan kepadamu”. Maka jawab Rasulullah SAW, “Ah, harta itu sangat menguntungkan, harta itu sangat menguntungkan, sesungguhnya aku dengar apa yang telah engkau katakan dan aku berpendapat engkau agihkan harta itu kepada kaum kerabat engkau”. Maka Abu Thalhah berkata, “Aku akan lakukan (seperti yang engkau suruh) wahai Rasulullah SAW”. Lalu Abu Thalhah membahagikan harta tersebut kepada kaum keluarga dan sepupunya”.

16 Tangan Yang Diatas Lebih Baik Dari Tangan Dibawah
Daripadanya (Abu Hurairah RA) daripada Nabi SAW sabdanya,  “Tangan yang di atas (memberi) itu adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah (meminta-minta) dan mulakan pemberian itu kepada mereka yang dibawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah adalah daripada orang yang berada (tidak memerlukan bantuan). Sesiapa yang dapat menahan diri daripada meminta-minta (walaupun dia miskin) maka Allah akan mencukupkabn keperluannya dan sesiapa yang merasa cukup untuk diri dan keluarganya maka Allah akan memberi kekayaan kepadanya”. 

17 Si Pemurah dan Si Bakhil
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda, “Tidak berpagi-pagi seseorang itu melainkan turun kepadanya 2 malaikat lalu seorang daripada kedua-duanya dengan berkata, “Ya Allah, berikan ganti kepada orang yang berbelanja”, dan seorang lagi pula berdoa dengan katanya, “Ya Allah, binasakanlah harta orang yang bakhil”. 

18 Jangan Cuai Sara Keluarga
Daripada Abdullah bin ‘Amru al-‘As R.huma katanya, sabda Rasulullah SAW, “Cukuplah dosa seseorang itu dengan mencuaikan tanggungjawabnya menyara keluarganya.

19 Berbelanja di Jalan Allah
Daripada Abu Abdullah (dikatakan Abu Abdul Rahman) Tsauban bin Bujdad hamba yang dimerdekakan Rasulullah SAW katanya, sanda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik wang yang dibelanjakan oleh seseorang ialah wang yang dibelanjakan untuk menyara keluarganya, wang yang dibelanjakan untuk binatang tunggangan pada jalan Allah dan wang yang dibelanjakan untuk kawan-kawannya di jalan Allah”. 

20 Menyara Keluarga Lebih Afdhal
Daripada Abu Hurairah RA katanya, sabda Rasulullah SAW, “Antara wang yang engkau belanjakan ke jalan Allah, wang yang engkau belanjakan untuk hamba sahaya, wang yang engkau sedekahkan kepada orang-orang miskn dan wang yang engkau belanjakan untuk kaum keluargamu, maka pahala yang paling besar ialah wang yang dibelanjakan untuk menyara kaum keluargamu”. 

Tuesday 4 December 2012

Cara menyempurnakan solat taubat

ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)
Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: “Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)
Syarat-syarat taubat :
  1. Ikhlas ingin bertaubat
  2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
  3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan
  4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya
  5. Dikerjakan sebelum ajal tiba
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.
Waktu melaksanakan taubat :
Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.
Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya
Firman Allah: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)
Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.
Cara melaksanakan solat taubat :
Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;
  • Waktu di lakukan – bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail
  • Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama’ tentang lafaz niat dlm ibadah – sila rujuk kpd pakar feqah)
  • Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),
  • Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
  • Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,

Ertinya: Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah.
  • dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,

Ertinya: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

  • Kemudian boleh juga berdoa mengikut luahan hati dan munajat masing-masing ke hadhrat Allah.
———————————————————–
*Makruh tahrim – Petikan dari “170 Solat-Solat Sunat”, Abd Rahman Mukhlis, Terbitan Jasmin Enterprise, ms 8-9 ;
Fuqaha Syafi’iyah berpendapat bahawa makruh tahrim hukumnya melaksanakan sembahyang sunat tanpa sebab, dan sembahyang itu dipandang tidak sah jika dilakukan dalam lima waktu berikut:
  1. Selepas sembahyang Subuh yang dilaksanakan secara tunai (bukan sembahyang qadha’), hingga matahari menyingsing sepenggalah.
  2. Ketika matahari terbit hingga menyingsing seperti galah.
  3. Selepas melakukan sembahyang Asar yang dilaksanakan secara tunai sekalipun ia dijamak dengan Zuhur pada waktu Zuhur (jamak taqdim).
  4. Ketika matahari berwarna kuning, hingga terbenam seluruhnya.
  5. Ketika matahari benar-benar berada di atas kepala (di tengah-tengah langit) hingga gelincir ke Barat. Kecuali waktu Istiwa’ (matahari berada di tengah-tengah langit pada hari Jumaat.
Bagaimanapun, jika sembahyang yang dilakukan itu ada sebab yang mendahuluinya seperti sembahyang Tahiyyatul Masjid, walaupun khatib sudah berada di atas mimbar, sembahyang Sunat Wuduk dan sembahyang Sunat Tawaf sebanyak dua rakaat.
Begitu juga sembahyang yang mempunyai waktu terkait (muqayyad), seperti sembahyang Istisqa’ dan sembahyang Gerhana Matahari. Maka hukumnya adalah sah tanpa dimakruhkan, sebab ia terkait dengan turunnya hujan dan terhalangnya cahaya matahari.
Adapun melaksanakan sembahyang sunat ketika bilal qamat adalah makruh tanzih, kecuali ketika qamat sembahyang Jumaat. Sembahyang sunat yang dilakukan ketika bilal sudah qamat pada sembahyang Jumaat adalah haram hukumnya.

MOGA ALLAH S.W.T. MENGAMPUNKAN DOSA KITA. AMEEN YA RABB...
 
SUMBER : ohislam.com

AGONG MALAYSIA

Yang di-Pertuan Agong (tulisan Jawi: يڠ د-ڤرتوان اڬوڠ) ialah gelaran rasmi ketua negara Malaysia. Gelaran rasmi yang penuh adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Oleh sebab Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan, peranan Yang di-Pertuan Agong kebanyakannya hanyalah sebagai istiadat. Perlembagaan menyatakan dengan jelas bahawa kuasa eksekutif, secara teorinya di bawah kuasa ketua negeri, dilaksanakan oleh (atau dengan nasihat) Kabinet atau Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri[1].
Yang di-Pertuan Agong Malaysia sekarang ialah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dari negeri Kedah.

                   
BENDERA PERIBADI YANG DI-PERTUAN AGONG

Sejarah

Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan.Cadangan jawatan Yang Dipertuan Agong timbul berikutan tentangan terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat ingin menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu.
Pada Ogos 1957, setelah memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong dan menolak gelaran Yang di-Pertuan Besar yang dicadangkan sebelum itu, Majlis Raja-Raja telah bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama.
Jika menurut tempoh lama memerintah, Major-Jeneral Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (Sultan Johor), yang dilantik menjadi pada tahun 1895, merupakan sultan yang paling lama memerintah, tetapi baginda menolak perlantikan tersebut disebabkan telah lanjut usia (ketika itu baginda berusia 84 tahun).
Yang kedua dalam turutan, Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Sultan Pahang), yang memerintah pada tahun 1932, tidak mendapat mandat secukupnya untuk dilantik. Yang lama memerintah seterusnya, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, yang menaiki takhta pada tahun 1933, kemudiannya telah dilantik.
Raja-raja yang hadir ketika pertabalan pertama adalah:
  1. Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Sultan Pahang; 1932-1974)
  2. Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan; 1933-1960)
  3. Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor; 1938-1942, 1945-1960)
  4. Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Sultan Kedah; 1943-1958)
  5. Sultan Ibrahim Petra ibni Almarhum Sultan Muhammad IV (Al-Sultan Kelantan; 1944-1960)
  6. Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (Raja Perlis; 1945-2000)
  7. Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III (Sultan Terengganu; 1945-1979)
  8. Sultan Yusuf Izzudin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasruddin Shah (Sultan Perak; 1948-1963)
  9. Tunku Ismail ibni Sultan Sir Ibrahim (Tunku Mahkota Johor; menjadi Sultan 1959-1981)

    Lantikan

    Ciri yang unik di seluruh dunia dalam sistem pemerintahan beraja Malaysia, jawatan ini digilirkan setiap lima tahun antara sembilan Pemerintah Negeri Melayu.
    Apabila menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong, seorang kerabat diraja akan dilantik sebagai Pemangku dalam negeri tersebut.

    Giliran Negeri

    Sistem penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun dianggap unik. Ini kerana ia menggabungkan tradisi feudal berasaskan keturunan darah dengan konsep moden berasaskan perlembagaan.
    Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran ketua negara.
    Sistem penggiliran hanya diberikan kepada Raja-Raja Melayu dari negeri yang dulunya dikenali Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.
    Negeri-negeri Melayu Bersekutu terdiri daripada Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang. Manakala Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Sementara itu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak tidak berpeluang walaupun mereka menganggotai Majlis Raja-Raja.
    Selepas kitaran pertama sembilan Yang di-Pertuan Agong (1957-1994), aturan menurut Pemerintah negeri adalah menurut kitaran yang telah digunakan sebelum itu, iaitu:
  10. Negeri Sembilan
  11. Selangor
  12. Perlis
  13. Terengganu
  14. Kedah
  15. Kelantan
  16. Pahang
  17. Johor
  18. Perak
Yang di-Pertuan Agong akan melantik sebagai istiadat iaitu Yang di-Pertua Negeri, atau Gabenor, kepada 4 buah negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah and Sarawak. Yang di-Pertuan Agong yang ke-14 (sekarang) adalah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dari Kedah

Faktor pemilihan

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan kepada sistem giliran yang telah ditetapkan.
Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja melalui undi rahsia bagi menentukan pengganti bagi jawatan Yang di-Pertuan Agong seterusnya.
Syarat yang akan diambil kira ialah:
  1. Kekananan di kalangan Sultan dan Raja;
  2. Baginda berkenan untuk menjadi Agong;
  3. Tidak mengalami kelemahan atau ketidak upayaan mental;
  4. Merupakan Raja yang berada di kedudukan teratas;
  5. Mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja lain;
  6. Dan bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.
Faktor lain ialah usia dan tempoh masa pemerintahan dan kalau kita lihat daripada aspek status atau peranan yang dimainkan oleh Yang Dipertua usia dan tempoh masa pemerintahan seseorang Raja di sesebuah negeri amat penting kerana apabila baginda telah menjalankan pemerintahan dalam tempoh yang lama ini dapat menggambarkan kematangannya terhadap cara pemerintahan.

Kebaikan sistem

Hanya yang terpilih sahaja boleh dipilih iaitu menurut darah keturunan (monarki) tetapi di dalamnya itu tersemat dan tersisip peraturan yang bercorak demokrasi moden iaitu pemilihan secara moden.
Keunikan tradisi ini bermula sejak tahun 1957, kuasa yang dimiliki oleh Yang di-Pertuan Agong mengatasi segala Raja-Raja Melayu sepanjang tempoh perlantikannya.
Jika dibandingkan dengan England, Ratu Elizabeth II, sistem perlantikan rajanya tidaklah seunik di Malaysia, ini kerana sistem beraja England datang dari satu keluarga sahaja. Uniknya di Malaysia, pemilihan ketua negara datang dari kalangan sembilan orang Sultan yang memerintah Negeri-negeri Melayu.

Kuasa sebagai Raja Berperlembagaan

Perkara 181 (1), Perlembagaan Persekutuan menjamin kedaulatan dan kuasa raja terus berkekalan. Perlembagaan telah memperuntukkan beberapa kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong. Antaranya ialah baginda diberi kuasa untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan menjaga kepentingan kepentingan sah kaum-kaum lain. Baginda juga berperanan sebagai ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.[2] Di samping itu, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara[3].
Di samping itu, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan penting yang lain dalam kerajaan termasuklah[4]:
  1. Melantik seorang Perdana Menteri
  2. Menangguhkan pembubaran parlimen
  3. Meminta supaya diadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi tujuan membincangkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan, dan kebesaran raja-raja.

Senarai Yang di-Pertuan Agong

Raja-raja berikut pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong sebelum ini:
  1. Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1895, memerintah pada 1957-1960, mangkat ketika memerintah pada 1 April 1960.
  2. Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dari Selangor, diputerakan pada 1898, memerintah pada 1960, mangkat ketika memerintah pada 1 September 1960.
  3. Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dari Perlis, diputerakan pada 1920, memerintah pada 1960-1965, mangkat pada tahun 2000.
  4. Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III dari Terengganu, diputerakan pada 1907, memerintah pada 1965-1970, mangkat pada 1979.
  5. Tuanku Al-Mutassimu Billahi Muhibbudin Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dari Kedah, diputerakan pada 1927, memerintah pada 1970-1975.
  6. Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra dari Kelantan, diputerakan 1917, memerintah pada 1975-1979, mangkat ketika memerintah pada 29 Mac 1979.
  7. Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah dari Pahang, diputerakan pada 1930, memerintah pada 1979-1984.
  8. Baginda Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail dari Johor, diputerakan pada 1932, memerintah pada 1984-1989, mangkat pada 22 Januari 2010.
  9. Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah Ghafarullahu-lahu dari Perak, diputerakan pada 1928, memerintah pada 1989-1994.
  10. Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1922, memerintah pada 1994-1999, mangkat pada 27 Disember 2009.
  11. Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj dari Selangor, diputerakan 1922, memerintah pada 1999-2001, mangkat ketika memerintah pada 4 Disember 2001.
  12. Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail dari Perlis, diputerakan 1943, memerintah pada 2001-2006.
  13. Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu, diputerakan 1962, memerintah pada 2006-2011.
  14. Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dari Kedah, diputerakan pada 1927, memerintah pada 2011-kini.

    Nota dan rujukan

    1. "Raja berperlembagaan". Majlis Keselamatan Negara (MKN).
    2. Yang Di-Pertuan Agong - MyGovernment (Portal Rasmi Kerajaan Malaysia)
    3. "Parlimen Malaysia". Parlimen Malaysia.
    4. "Raja berperlembagaan". Majlis Keselamatan Negara (MKN).
    5. Wikipedia bahasa melayu